
MUKAH: Seorang lelaki warga tempatan ditahan dalam Operasi Bersepadu Cegah Jenayah IPD Mukah kerana disyaki terlibat dengan aktiviti penyalahgunaan dadah.
Ketua Polis Daerah Mukah, DSP Mohd Rizal berkata, suspek berumur 33 tahun, bekerja sebagai buruh ditahan semasa pemeriksaan di tepi Jalan Balingian-Bintulu, Balingian semalam.
“Suspek dibawa ke IPD Mukah untuk tindakan lanjut, ujian urin di Balai Polis Balingian ke atas suspek mendapati positif dadah jenis Methamphetamine atau syabu.
“Kes disiasat di bawah Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya menerusi siaran media, hari ini.
Katanya, semasa operasi ini seramai 99 individu dan 86 kenderaan telah diperiksa, sebanyak 13 saman telah dikeluarkan kerana pelbagai kesalahan lalu lintas.


“Seramai 21 pegawai dan anggota terlibat dalam operasi ini yang diketuai oleh Ketua Bahagian Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti Daerah, ASP Stephen Buda Kiding.
“Konsep operasi adalah dengan mengadakan pemeriksaan mengejut (Snap Check), Sekatan Jalan Raya (SJR) dan Rondaan Cegah Jenayah. Operasi bermula 8.00 pagi dan ditamatkan pada 12.00 tengahari,” ujarnya.
Tambahnya, operasi adalah di kawasan pentadbiran Balai Polis Balingian IPD Mukah termasuklah di Pasar Lama Balingian, Jalan Balingian – Bintulu dan Kuala Balingian.
“Objektif utama operasi ini adalah untuk mengesan pesalah jenayah dan dadah, menguatkuasakan peraturan lalu lintas terutamanya kepada kenderaan berat serta mencegah daripada berlakunya jenayah di kawasan daerah kecil Balingian,” ujar beliau.
Oleh Akun Giman