
SARATOK: Seorang lelaki tempatan berusia 46 tahun ditahan dalam Op Tapis Khas yang dijalankan oleh pasukan Task Force Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Saratok selepas didapati berada dalam keadaan mencurigakan di sekitar Pekan Saratok, hari ini.
Ketua Polis Daerah Saratok, DSP Mathew Manggie berkata, tangkapan dilakukan hasil maklumat awam yang diterima oleh pasukan Task Force diketuai oleh Sub Inspektor Englebert.
“Bertindak atas maklumat, pasukan polis telah ke lokasi dan berjaya menahan suspek yang disyaki terlibat dalam aktiviti penyalahgunaan dadah.
“Ujian saringan air kencing terhadap suspek mendapati positif dadah jenis amphetamine dan methamphetamine,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Menurut beliau, semakan lanjut mendapati suspek mempunyai dua rekod lampau berkaitan kes narkotik.
“Suspek kini ditahan untuk siasatan lanjut di bawah Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952,” jelasnya.
Mathew turut merakamkan penghargaan kepada orang awam yang menyalurkan maklumat serta menggesa masyarakat agar terus bekerjasama dengan pihak polis dalam membanteras gejala penyalahgunaan dadah di Daerah Saratok.
Oleh Adi Safarman