
BINTANGOR: Seorang lelaki tempatan berusia 29 tahun ditahan polis selepas disyaki terlibat dengan kegiatan penyalahgunaan dadah dalam satu operasi khas yang dijalankan semalam.
Ketua Polis Daerah (KPD) Meradong, DSP Tansli Mering, berkata suspek ditahan oleh sepasukan Petugas Khas Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Meradong ketika menjalankan Ops Tapis sekitar 10.05 pagi.
“Suspek dibawa ke IPD Meradong untuk tindakan lanjut termasuk menjalani saringan ujian air kencing.
“Saringan ujian air kencing terhadap suspek di pejabat Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Daerah (BSJND) Meradong, didapati suspek positif dadah jenis amphetamine dan methamphetamine.
“Semakan rekod lampau, dapati suspek mempunyai rekod bersabit kesalahan dadah,” katanya dalam satu kenyataan media, malam tadi.
Katanya, kes disiasat di bawah Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang memperuntukkan hukuman denda tidak melebihi RM5,000 atau penjara sehingga dua tahun, jika sabit kesalahan.
“Pihak polis IPD Meradong memandang serius kesalahan dadah di kalangan masyarakat dan tidak berkompromi dengan masalah tersebut.
“Kami menggesa supaya masyarakat menyalurkan maklumat kepada pihak polis berkaitan kegiatan dadah di Daerah Meradong,” katanya.
Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kegiatan dadah di Daerah Meradong diminta menyalurkannya kepada pihak polis dengan menghubungi Balai Polis Bintangor di talian 084-693222.
Oleh Earl Anek