Lelaki ditahan, polis rampas 5.05 gram syabu di Limbang

Facebook
WhatsApp
TANGKAPAN... Suspek dan syabu yang dirampas. Foto Polis Limbang

LIMBANG: Polis menahan seorang lelaki dan merampas dadah disyaki syabu seberat 5.05 gram dalam operasi di tepi jalan Kampung Tedungan di sini, malam tadi.

Ketua Polis Daerah Limbang, Superintenden Parum Niot berkata, suspek berusia 32 tahun itu ditahan kira-kira 8.20 malam oleh sepasukan anggota dari Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Limbang.

“Hasil pemeriksaan membawa kepada penemuan dan rampasan dadah jenis syabu, iaitu satu peket plastik lutsinar yang mengandungi lima keratan tiub straw serta dua peket plastik lutsinar berisi hablur kristal disyaki dadah jenis syabu.

“Berat kasar keseluruhan rampasan adalah 5.05 gram,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Parum berkata, suspek ditahan bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 39A(1) Akta Dadah Berbahaya 1952.

“Polis Diraja Malaysia (PDRM) ingin menegaskan bahawa tindakan tegas akan terus diambil terhadap mana-mana individu yang terlibat dalam aktiviti penyalahgunaan dan pengedaran dadah.

“Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan dadah diminta menyalurkannya menerusi talian hotline Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) di 085-211466,” katanya.