

KOTA SAMARAHAN: Seorang lelaki tempatan berusia 35 tahun ditahan kerana memandu di bawah pengaruh alkohol dalam Op Mabuk yang dijalankan oleh Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Samarahan di Jalan La Promenade.
Ketua Polis Daerah Kota Samarahan, Barry William, berkata operasi tersebut dijalankan bermula pada 11.30 malam semalam hingga 4.00 pagi tadi melibatkan seorang pegawai kanan polis dan tujuh anggota trafik.
Menurutnya, sebanyak 85 kenderaan dan 88 individu telah diperiksa sepanjang operasi dijalankan.
“Pemeriksaan menggunakan alat saringan awal alkohol jenis SD2+ telah dijalankan ke atas dua individu. Seorang lelaki tempatan berusia 35 tahun didapati positif alkohol, manakala seorang lagi disahkan negatif,” katanya hari ini.

Barry berkata alat SD2+ digunakan sebagai peranti saringan awal untuk mengesan kehadiran alkohol dalam badan pemandu dengan cepat sebelum tindakan lanjut diambil.
Beliau mengingatkan bahawa mereka yang disabitkan kesalahan memandu di bawah pengaruh alkohol boleh dikenakan hukuman penjara sehingga dua tahun dan denda antara RM10,000 hingga RM30,000.
Dalam operasi sama, polis turut mengeluarkan 27 saman trafik atas pelbagai kesalahan jalan raya.
Barry berkata Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan terus mempergiatkan operasi seumpama itu dari semasa ke semasa bagi memastikan keselamatan pengguna jalan raya sentiasa terjamin serta mengurangkan risiko kemalangan akibat pemanduan di bawah pengaruh alkohol.
Oleh Connie Chieng