
PAKAN: Seorang lelaki berusia 55 tahun ditahan oleh polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Daerah (BSJD), Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Julau selepas disyaki menjalankan kegiatan penjualan loteri awam haram.
Ketua Polis Daerah Julau, DSP Alif Haiqal Ramesh Abdullah, berkata tangkapan dilakukan sekitar 3.00 petang semalam menerusi pemeriksaan Op Dadu di sebuah kedai di Jalan Babai, yang dipercayai menjadi lokasi aktiviti perjudian.
“Pegawai polis yang mengetuai operasi bersama pasukannya telah memperkenalkan diri kepada seorang lelaki di premis tersebut.
Hasil pemeriksaan ke atas suspek menemukan beberapa barangan dipercayai berkaitan aktiviti penjualan loteri awam haram,” katanya dalam satu kenyataan malam tadi.
Suspek bersama barangan rampasan kemudian dibawa ke IPD Julau untuk siasatan lanjut.
“Barang rampasan adalah sebuah telefon bimbit jenama Redmi 13C, satu unit pencetak mudah alih tanpa jenama berwarna hitam, sekeping kertas kecil bercetak dipercayai nombor loteri awan haram dan keping wang tunai campur-campur berjumlah RM30.
“Kes diklasifikasikan dibawah Seksyen 4A (a) Akta Rumah Judi Terbuka 1953,” katanya.