LAWAS: Polis menahan seorang lelaki bagi membantu siasatan kes ugutan jenayah yang didakwa melibatkan penggunaan senjata tajam di Sundar, di sini.
Ketua Polis Daerah Lawas, DSP Liong Tindan berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kejadian itu pada 12 Ogos lalu, kira-kira 3.01 petang.
Menurutnya, kejadian dipercayai berlaku kira-kira 5.30 petang pada 11 Ogos di sebuah rumah di Jalan Sundar.
“Ketika pengadu datang ke rumah sewa suspek atas urusan peribadi, berlaku pertengkaran antara mereka.
“Pengadu mendakwa telah menerima ugutan daripada suspek menerusi kata-kata serta menggunakan senjata tajam,” katanya.
Liong berkata, bertindak atas maklumat, sepasukan polis berjaya menahan suspek di sebuah rumah di Jalan Sundar kira-kira 10.50 malam pada 12 Ogos.
Semakan mendapati suspek mempunyai 12 rekod kesalahan lampau berkaitan dadah dan jenayah.
Kes disiasat mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan kerana ugutan jenayah.





