
BINTANGOR: Seorang lelaki berusia 23 tahun ditahan oleh sepasukan polis dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Meradong di sekitar kawasan Bintangor kerana disyaki terlibat dalam aktiviti penyalahgunaan dadah.
Ketua Polis Daerah (KPD) Meradong, DSP Tansli Mering, berkata suspek ditahan dalam satu operasi Ops Tapis yang dijalankan.
“Semalam, pihak kami menahan suspek di sekitar kawasan Bintangor semasa operasi Ops Tapis pada 11.40 pagi kerana disyaki terlibat dalam aktiviti penyalahgunaan dadah.
“Saringan awal ujian air kencing terhadap suspek dipejabat Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Daerah (BSJND) Meradong mendapati suspek positif amphetamine dan metahmphetamine,” katanya dalam satu kenyataan media, hari ini.
Katanya, hasil semakan rekod kesalahan lampau, suspek tiada mempunyai sebarang rekod kesalahan jenayah dan dadah.
“Suspek ditahan dan disiasat di bawah Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952.
“Kes disiasat di bawah Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan jika disabitkan kesalahan akan didenda tidak lebih daripada RM5,000 atau penjara selama tempoh tidak lebih daripada dua tahun.
“Pihak kami memandang serius kesalahan dadah di kalangan masyarakat dan tidak berkompromi dengan kesalahan tersebut,” tegasnya.
Beliau juga menggesa masyarakat awam menyalurkan maklumat kepada pihak polis berkaitan kegiatan dadah di Daerah Meradong.
“Maklumat boleh disalurkan ke Balai Polis Bintangor di talian 084-693222,” katanya.
Oleh Earl Anek