
KUCHING: Polis menahan seorang lelaki tempatan berusia 26 tahun yang dipercayai terbabit dalam kegiatan pertaruhan haram bola sepak sempena kejohanan Piala Dunia FIFA 2026 menerusi satu serbuan di King Centre, Jalan Simpang Tiga, kelmarin.
Ketua Polis Daerah Kuching ACP Alexson Naga Chabu berkata, suspek ditahan sepasukan pegawai dan anggota dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuching hasil maklumat dan risikan.
Beliau berkata, suspek ditahan ketika berada di sebuah kedai kopi dan dipercayai berperanan sebagai ejen pertaruhan dengan mencari pelanggan di sekitar kawasan berkenaan serta menerima pertaruhan bagi perlawanan Piala Dunia FIFA 2026.
“Polis turut merampas sebuah telefon bimbit yang dipercayai digunakan untuk urusan pertaruhan serta wang tunai yang disyaki hasil daripada aktiviti perjudian. Semakan turut mendapati suspek mempunyai satu rekod jenayah lampau,” katanya dalam kenyataan.

Kes disiasat mengikut Seksyen 6(3) Akta Pertaruhan 1953 kerana disyaki menjalankan aktiviti pertaruhan haram.
Jika disabitkan kesalahan, suspek boleh dikenakan denda tidak kurang daripada RM20,000 dan tidak melebihi RM200,000, dipenjarakan sehingga lima tahun atau kedua-duanya sekali.
Alexson menggesa orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kegiatan perjudian haram supaya menghubungi Bilik Gerakan IPD Kuching di talian 082-244444 atau tampil ke mana-mana balai polis berhampiran.
Beliau berkata, kerjasama masyarakat amat penting dalam membantu polis membanteras kegiatan jenayah di Kuching.
Oleh Connie Chieng