KUCHING: Seorang lelaki ditahan oleh orang awam selepas disyaki merakam secara mengintai di bawah skirt beberapa wanita di Pesta Kuching pada malam semalam.
Menurut saksi, suspek ditegur dan ditahan oleh orang awam selepas seorang wanita menyedari dia dipercayai menjadi mangsa perbuatan tersebut.
Orang awam yang menahan suspek mendakwa mereka menemui beberapa gambar serta video mengintai di bawah skirt melibatkan beberapa wanita lain di dalam telefon bimbit suspek sebelum menyerahkannya kepada pihak polis.
Pihak polis telah dihubungi bagi mendapatkan pengesahan berhubung kejadian itu.
Apabila dihubungi Utusan Sarawak, Datuk Bandar Kuching Selatan, Datuk Wee Hong Seng, belum memberikan sebarang komen.
Pesta Kuching yang dianjurkan setiap tahun oleh MBKS berlangsung dari 22 Julai hingga 16 Ogos di pekarangan Dewan Bandaraya Kuching Selatan dan menarik kehadiran orang ramai menerusi pelbagai program kulinari, kebudayaan serta pertukaran antarabangsa.





