
SARATOK: Seorang lelaki tempatan ditahan polis selepas dipercayai terlibat dalam kegiatan mencuri buah kelapa sawit milik sebuah ladang di sini, dalam satu operasi yang dijalankan oleh Bahagian Siasatan Jenayah Daerah (BSJD) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Saratok, kelmarin.
Ketua Polis Daerah Saratok, DSP Mathew Manggie berkata, tangkapan dilakukan pada Selasa lalu di Jalan Orang Kaya Temenggong, Saratok.
Menurut beliau, kes berkenaan diklasifikasikan di bawah Seksyen 379 Kanun Keseksaan kerana mencuri.
“Laporan polis telah dibuat oleh seorang anggota Polis Bantuan SALCRA berusia 51 tahun selepas mengesyaki berlaku kecurian buah sawit di Ladang SALCRA Saratok,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Mengulas lanjut, beliau berkata kejadian dikesan pada 5 Januari lalu kira-kira 2.30 petang ketika pengadu bersama penyelia melakukan rondaan di dalam ladang berkenaan.
“Mereka telah ternampak sebuah kenderaan jenis Mitsubishi Triton berwarna hitam tanpa nombor pendaftaran membawa muatan buah sawit yang dipercayai milik ladang.
“Apabila menyedari kehadiran pihak ladang, kenderaan tersebut terus beredar dan pengadu bertindak mengekori sehingga ke kawasan Taman Lily sebelum hilang jejak,” jelasnya.
Anggaran kerugian akibat kejadian itu dianggarkan melibatkan kira-kira 400 kilogram buah sawit bernilai lebih RM300.
Bertindak atas maklumat dan siasatan lanjut, sepasukan anggota BSJD IPD Saratok yang diketuai Inspektor Hendry berjaya menahan seorang lelaki tempatan berusia 48 tahun.

Ujian saringan awal air kencing mendapati suspek positif dadah jenis methamphetamine dan amphetamine. Suspek juga didapati tidak mempunyai rekod jenayah lampau.
Polis turut merampas sebuah kenderaan jenis Mitsubishi Triton berwarna hitam bersama satu kunci dan alat kawalan jauh, sebatang spike tojok buah sawit, dua bilah mata tombak, dua tandan buah sawit serta sebuah beg silang kalis air berwarna ungu.
Hasil soal siasat, suspek mengaku terlibat dalam kejadian tersebut bersama seorang rakan yang masih bebas. Mereka dipercayai mengambil buah sawit yang telah ditombak dan diletakkan di tepi jalan ladang sebelum melarikan diri apabila menyedari diekori.
Suspek turut mengaku menyembunyikan buah sawit dan peralatan yang digunakan di kawasan semak berhampiran Jalan Mudong–Ibus.
“Kenderaan yang digunakan adalah milik suspek yang dibeli secara ansuran daripada seorang rakan dan masih belum ditukar hak milik,” katanya.
Menurut DSP Mathew lagi, suspek mengaku mencuri buah sawit berkenaan bagi mendapatkan wang untuk membeli bekalan dadah bagi kegunaan sendiri.
Seorang lagi suspek yang dipercayai terlibat dalam kejadian itu sedang dikesan dan siasatan lanjut masih diteruskan.
Oleh Adi Safarman