

POLIS berjaya menumpaskan kegiatan curi lampu solar selepas menahan seorang lelaki di Kabong baru-baru ini. Foto: IPD Saratok
SARATOK: Kepantasan tindakan sepasukan Bahagian Siasatan Jenayah Daerah (BSJD) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Saratok berjaya menumpaskan kegiatan curi lampu solar selepas menahan seorang lelaki di Kabong baru-baru ini.
Ketua Polis Daerah Saratok, DSP Mathew Maggie berkata, suspek berusia 41 tahun itu ditahan pada 4 Oktober lalu selepas disyaki mencuri satu unit lampu solar jenama Master 60W berserta panel solar di sebuah rumah burung walit di Pantai Tanjung Kembang, Kabong.
Menurut beliau, kejadian dilaporkan berlaku sekitar 11.30 malam pada 3 Oktober apabila pengadu melihat suspek, yang dikenali olehnya, melarikan diri dengan motosikal selepas disyaki mencuri lampu solar tersebut.

“Anggaran kerugian dianggarkan sekitar RM300, dan hasil risikan serta maklumat awam membawa kepada penangkapan suspek keesokan harinya,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Tambahnya, pada 5 Oktober, suspek telah menunjukkan lokasi penyimpanan barang curi tersebut di tepi rumahnya di Kabong. Polis berjaya merampas lampu dan panel solar berkenaan.
Siasatan lanjut mendapati suspek positif dadah jenis amphetamine dan methamphetamine serta mempunyai empat rekod jenayah lampau.

“Suspek mengaku mencuri barang tersebut dengan niat menjualnya bagi mendapatkan bekalan dadah untuk kegunaan sendiri,” jelas beliau.
Kes disiasat di bawah Seksyen 379 Kanun Keseksaan kerana mencuri, yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.
Pihak polis turut menggesa orang awam supaya terus menyalurkan maklumat berkaitan kegiatan jenayah bagi membantu usaha mengekalkan keselamatan dan ketenteraman awam di daerah ini.
Oleh Adi Safarman