


TANGKAPAN BERTERUSAN… Dua suspek berjaya ditahan termasuk rampasan beg silang mengandungi 30 gram syabu bernilai RM6,000.
LAWAS: Polis Daerah Lawas berjaya menahan seorang lelaki tempatan berusia 41 tahun bersama anggaran 30 gram syabu bernilai RM6,000 dalam satu operasi di tepi Jalan Sundar, petang semalam.
Ketua Polis Daerah Lawas, DSP Liong Tindan, berkata ketika serbuan dilakukan, suspek bertindak melarikan diri namun berjaya diberkas tidak lama kemudian.
Pemeriksaan terhadap suspek menemui sebuah beg silang berisi 18 paket plastik dan dua keratan tiub straw mengandungi kristal disyaki dadah jenis syabu dengan berat kasar 30 gram. Nilai rampasan dianggarkan RM6,000.
Hasil ujian air kencing turut mendapati suspek positif dadah jenis Amp dan Meth, manakala semakan rekod lampau menunjukkan suspek memiliki tiga kesalahan berkaitan dadah.
Kes kini disiasat mengikut Seksyen 39A(2) ADB 1952 dan Seksyen 15(1)(a) ADB 1952.
Dalam operasi berasingan pada jam 12.30 tengah hari di tepi Jalan Trusan, Lawas, polis menahan seorang lelaki tempatan berusia 32 tahun yang bekerja sebagai buruh kerana disyaki terlibat dalam penyalahgunaan dadah.
Pemeriksaan fizikal tidak menemui sebarang barang salah, namun hasil ujian air kencing mendapati suspek positif Amp dan Meth. Semakan lanjut mendapati suspek mempunyai satu rekod kesalahan lampau berkaitan dadah. Kes disiasat di bawah Seksyen 15(1)(a) ADB 1952.