
BINTANGOR: Seorang lelaki tempatan berusia 33 tahun ditahan polis selepas disyaki terlibat dalam aktiviti penyalahgunaan dadah dalam satu serbuan di kawasan kebun sawit Jalan Sungai Ruan, Batu 5 petang semalam.
Ketua Polis Daerah (KPD) Meradong, DSP Tansli Mering, berkata serbuan kira-kira 4.50 petang tersebut dijalankan sepasukan anggota Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Meradong.
“Hasil pemeriksaan, pihak polis telah menjumpai dua keratan tiub straw warna putih berisi ketulan kristal disyaki dadah jenis methamphetamine (syabu) di dalam satu beg sandang bertulis ‘SWAT’ warna celoreng milik suspek.
“Seterusnya suspek dibawa balik ke Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Daerah (BSJND) Meradong,” katanya dalam satu kenyataan media, hari ini.
Katanya, hasil saringan ujian air kencing mendapati suspek turut positif dadah jenis amphetamine dan methamphetamine.
“Semakan rekod lampau, didapati suspek mempunyai satu rekod lampau bersabit jenayah dadah.
“Kes disiasat di bawah Seksyen 12(3) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952. Jika disabitkan kesalahan di bawah Seksyen 12(3) Akta Dadah Berbahaya 1952, suspek boleh didenda tidak melebihi RM100,000 atau dipenjarakan tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya sekali.
“Jika disabitkan kesalahan di bawah Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952, suspek boleh didenda tidak lebih daripada RM5,000 atau penjara selama tempoh tidak lebih daripada dua tahun,” tegasnya.
Tambahnya, pihak polis IPD Meradong memandang serius kesalahan berkaitan dadah dalam kalangan masyarakat dan tidak akan berkompromi dengan sebarang aktiviti penyalahgunaan bahan terlarang di daerah tersebut.
“Saya menggesa supaya masyarakat menyalurkan maklumat kepada pihak polis berkaitan kegiatan dadah di Daerah Meradong bagi membantu usaha membanteras jenayah dadah.
“Maklumat boleh disalurkan ke Balai Polis Bintangor di talian 084-693222,” katanya.
Oleh Earl Anek