
SELANGAU: Seorang lelaki ditahan polis selepas disyaki memiliki dadah jenis methamphetamine dalam satu operasi di sebuah stesen minyak di sini, semalam.
Ketua Polis Daerah Mukah, DSP Muhamad Rizal Alias berkata, suspek berusia 29 tahun itu ditahan sekitar 11.00 pagi oleh sepasukan anggota dari Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Mukah yang menjalankan Op Tapis.
“Hasil pemeriksaan ke atas suspek yang berada di dalam tandas stesen minyak berkenaan menemui satu keratan tiub straw lut sinar mengandungi ketulan kristal disyaki dadah jenis methamphetamine atau syabu yang disimpan dalam beg sandang miliknya.

“Anggaran berat kasar dadah yang dirampas adalah 0.36 gram,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Beliau berkata, suspek yang bekerja sebagai buruh kemudian dibawa ke IPD Mukah bersama barang rampasan untuk tindakan lanjut.
Menurutnya, ujian air kencing mendapati suspek positif dadah jenis amphetamine dan methamphetamine.
“Kes disiasat di bawah Seksyen 12(2) dan Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952. Suspek turut direman selama tiga hari sehingga 23 April ini bagi membantu siasatan,” katanya.
Muhamad Rizal berkata, pihaknya komited dalam membanteras aktiviti penyalahgunaan dadah dan orang ramai diminta menyalurkan maklumat kepada polis.
Sebarang maklumat berkaitan boleh disalurkan menerusi talian hotline IPD Mukah di 084-871222 atau mana-mana balai polis berhampiran.
Oleh Tarani Lanting