
KOTA SAMARAHAN: Seorang lelaki tempatan ditahan oleh sepasukan pegawai dan anggota dari Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Daerah, Ibu Pejabat Polis Daerah Kota Samarahan dalam satu serbuan di sebuah rumah di kawasan Sadong Jaya, pagi tadi.
Serbuan sekitar 11.00 pagi itu membawa kepada penemuan beberapa paket disyaki dadah jenis syabu dengan anggaran berat sekitar 25 gram bernilai kira kira RM2,750.
Suspek kemudian dibawa ke Balai Polis Kota Samarahan untuk tindakan lanjut. Kes disiasat di bawah Seksyen 39A(1) Akta Dadah Berbahaya 1952 kerana memiliki dadah berbahaya serta Seksyen 15(1)(a) akta yang sama kerana penyalahgunaan dadah.
Jika sabit kesalahan, Seksyen 39A(1) memperuntukkan hukuman penjara tidak kurang dua tahun dan tidak lebih lima tahun serta sebatan antara tiga hingga sembilan kali. Bagi Seksyen 15(1)(a), pesalah boleh dikenakan denda tidak melebihi RM5,000 atau penjara tidak melebihi dua tahun serta tertakluk kepada pengawasan pihak berkuasa.
Pemangku Ketua Polis Daerah Kota Samarahan, DSP Barry Ak William berkata, pihak polis akan terus mempergiatkan usaha membanteras kegiatan pengedaran dan penyalahgunaan dadah di daerah ini.
Beliau menegaskan bahawa polis tidak akan berkompromi dengan mana mana individu yang terlibat dalam aktiviti jenayah dadah dan akan mengambil tindakan tegas bagi memastikan keselamatan serta kesejahteraan masyarakat sentiasa terpelihara.
“Kerjasama orang ramai amat penting dalam menyalurkan maklumat kepada pihak polis supaya tindakan pencegahan dan penguatkuasaan dapat dilaksanakan dengan lebih berkesan,” katanya.
Kes kini dalam siasatan lanjut pihak polis.
Oleh Connie Chieng