
SIBU: Seorang lelaki tempatan ditahan bersama pelbagai jenis dadah di sebuah pusat hiburan di Lorong Langsat di sini awal pagi tadi dengan nilai rampasan dianggarkan berjumlah RM30,156.
Ketua Polis Daerah Sibu, ACP Zulkipli Suhaili berkata suspek berusia 41 tahun itu ditahan sepasukan anggota dari Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sibu sekitar 1.45 pagi.
“Hasil pemeriksaan yang dijalankan pihak polis telah menjumpai 54 paket plastik kecil berisi ketulan-ketulan kristal jenis disyaki dadah jenis Ketamine anggaran berat kasar 58.04gram, sembilan papan kerajang timah mengandungi 84 biji pil Erimin 5 dan 13 paket plastik lutsinar yang mengandungi pil pelbagai warna disyaki dadah jenis Ecstacy berat kasar 170.88gram.
“Ujian saringan air kencing yang dijalankan mendapati suspek positif dadah jenis Methamphetamine/Amphatemine/Ketamine,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Beliau memberitahu, suspek tidak mempunyai rekod kesalahan lampau.
Menurutnya, suspek seterusnya ditangkap dibawah Seksyen 39B ADB 1952 dan Seksyen 15(1)(a) ADB 1952 dan telah direman selama enam hari bagi membantu siasatan.
“Hukuman bagi kesalahan dibawah Seksyen 39B ADB 1952 jika disabitkan kesalahan mandatori gantung sampai mati. Manakala bagi kesalahan dibawah Seksyen 15(1) (a) ADB 1952 denda tidak lebih RM 5000 dan penjara tidak lebih dua tahun atau kedua-duanya sekali dan pengawasan selama dua tahun dibawah seksyen 38B Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya.
Oleh Tarani Lanting