KUCHING: Seorang lelaki tempatan berusia 22 tahun ditahan manakala 24 motosikal disita dalam Operasi Samseng Jalanan yang dijalankan Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuching awal pagi semalam.
Ketua Polis Daerah, Asisten Komisioner Polis (ACP) Alexson Naga Chabu berkata, operasi itu dijalankan bermula 11.30 malam hingga 3.00 pagi semalam di kawasan Petronas, Jalan Astana, di sini.
Menurut beliau, operasi berkenaan melibatkan seorang pegawai kanan polis bersama 11 anggota Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik IPD Kuching.
Katanya, operasi tersebut dilaksanakan bagi membanteras aktiviti samseng jalanan serta memastikan pengguna jalan raya mematuhi undang-undang lalu lintas.
“Hasil operasi, seorang lelaki tempatan berumur 22 tahun telah ditahan dan sebuah motosikal dirampas kerana disyaki melakukan kesalahan di bawah Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Beliau berkata, sepanjang operasi dijalankan, seramai 92 individu dan 80 buah motosikal telah diperiksa.
“Hasil pemeriksaan turut membawa kepada penyitaan 24 buah motosikal di bawah Seksyen 60 Akta Pengangkutan Jalan 1987, selain 129 keping saman PDRM (K) 257 dikeluarkan atas pelbagai kesalahan lalu lintas,” katanya.
Sehubungan itu, Alexson menasihatkan orang ramai supaya sentiasa mematuhi undang-undang jalan raya, tidak terlibat dalam aktiviti samseng jalanan, tidak mengubah suai struktur asal kenderaan serta tidak memandu secara berbahaya.





