
BINTANGOR: Seorang lelaki tempatan berumur lingkungan 20-an ditahan polis kerana disyaki terlibat dalam aktiviti perjudian dalam satu operasi di Jalan KJD, semalam.
Ketua Polis Daerah (KPD) Meradong, DSP Tansli Mering, berkata tangkapan tersebut dilakukan oleh sepasukan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah (BSJ) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Meradong sekitar 1.40 petang.
Katanya, hasil pemeriksaan yang dijalankan ke atas suspek telah menemukan beberapa peralatan yang dipercayai digunakan untuk aktiviti perjudian tanpa lesen.
“Antara barang kes yang dirampas dari subjek adalah satu unit tab jenama Samsung, keratan kertas bercetak angka-angka disyaki nombor loteri awam tanpa lesen dan sejumlah wang tunai.
“Barang-barang tersebut telah dirampas untuk dijadikan barang kes,” katanya dalam satu kenyataan media, hari ini.
Tambahnya, suspek bersama barang kes kemudiannya dibawa ke Balai Polis Bintangor untuk tindakan selanjutnya.
“Kes disiasat di bawah Seksyen 4A(a) Akta Rumah Judi Terbuka 1953 yang memperuntukkan hukuman denda tidak kurang RM1,000 dan tidak melebihi RM100,000 dan penjara tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya sekali,” katanya.
Sehubungan itu, beliau menasihatkan orang ramai supaya tidak terlibat dalam sebarang aktiviti perjudian dan menggesa masyarakat untuk menyalurkan maklumat kepada pihak polis bagi membantu membanteras kegiatan jenayah demi memastikan keselamatan dan ketenteraman awam sentiasa terpelihara.
Oleh Earl Anek