Skip to content

UTUSAN SARAWAK

SUMBER MAKLUMAT ERA BAHARU

Primary Menu
  • LAMAN UTAMA
  • IKLAN
  • SEMASA
  • WILAYAH
    • Selatan
    • Tengah
    • Utara
  • TEMPATAN
  • NASIONAL
  • INSPIRASI
  • KESIHATAN
  • ADVERTORIAL
  • RENCANA
  • TEKNOLOGI
  • PENDIDIKAN
  • BISNES
  • MAHKAMAH
  • JENAYAH
  • KEMALANGAN
  • KEBAKARAN
  • KOLUM
  • GLOBAL
  • SUKAN
  • WBS
  • Home
  • JENAYAH
  • Lelaki disyaki seleweng diesel ditahan, rampasan lebih RM770,000 di Sibu
  • JENAYAH

Lelaki disyaki seleweng diesel ditahan, rampasan lebih RM770,000 di Sibu

Utusan Sarawak 3 hours ago
KETUA Cawangan KPDN Sibu, Roslee Masli (kiri) dan Ketua Polis Daerah Sibu, ACP Azari Miskon menunjukkan kapal tunda Sinar Pelutan 1 yang diserbu dalam operasi membanteras penyelewengan diesel bersubsidi di jeti Sarawak Chemical Industries, Ulu Lanang di Sibu, hari ini.

SIBU: Seorang lelaki tempatan berusia lingkungan 60 tahun ditahan selepas dipercayai terlibat dalam sindiket penyelewengan diesel bersubsidi susulan serbuan ke atas kapal tunda di jeti Sarawak Chemical Industries, Ulu Lanang, di sini, Jumaat lalu.

Ketua Polis Daerah Sibu, ACP Azari Miskon berkata, serbuan yang dijalankan antara 9.30 pagi hingga 7.50 malam itu melibatkan kerjasama Bahagian E5 Ibu Pejabat Polis Cawangan Khas (IPCK) Sarawak, Cawangan Khas IPD Sibu serta Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Cawangan Sibu.

“Dalam operasi tersebut, pihak berkuasa telah menyerbu kapal tunda, Sinar Pelutan 1 dan menahan lelaki tempatan yang disyaki terlibat dalam aktiviti penyeludupan diesel bersubsidi,” katanya pada sidang media hari ini.

KETUA Polis Daerah Sibu, ACP Azari Miskon ketika berucap pada sidang media di Sarawak Chemical Industries, Ulu Lanang di Sibu, hari ini.

Beliau berkata, hasil pemeriksaan menemukan sebanyak 132,000 liter diesel dianggarkan bernilai RM283,800 yang disimpan dalam sembilan tangki di atas kapal berkenaan.

“Jumlah keseluruhan nilai rampasan termasuk kapal dan muatan dianggarkan mencecah RM773,600,” katanya.

Menurut Azari, siasatan awal mendapati kapal tersebut telah berlabuh di jeti berkenaan selama kira-kira sebulan dengan alasan mengalami kerosakan enjin sebelum dirancang berlepas ke Kepulauan Solomon.

“Kes disiasat di bawah Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961 dan semua tangkapan serta rampasan telah diserahkan kepada pihak KPDN Sibu untuk tindakan lanjut,” tambahnya.

Sementara itu, Ketua Cawangan KPDN Sibu, Roslee Masli berkata, jika disabit kesalahan, individu boleh didenda sehingga RM1 juta atau dipenjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya sekali.

“Bagi kesalahan berulang, denda boleh mencecah sehingga RM3 juta atau penjara tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya sekali,” katanya.

Beliau menambah, bagi syarikat pula, denda boleh dikenakan sehingga RM2 juta dan bagi kesalahan berikutnya sehingga RM5 juta.

Roslee berkata, KPDN Sarawak komited memperkukuh kerjasama strategik bersama agensi penguat kuasa termasuk Polis Diraja Malaysia (PDRM) dalam membanteras aktiviti penyelewengan barang kawalan.

“Tindakan tegas akan diambil terhadap mana-mana pihak yang terlibat dalam penyelewengan subsidi negara yang memberi kesan kepada ekonomi dan kesejahteraan rakyat,” katanya.

Beliau turut menasihatkan orang ramai supaya tidak melakukan pembelian panik kerana bekalan adalah mencukupi serta menggalakkan masyarakat menyalurkan maklumat berkaitan salah laku melalui saluran rasmi KPDN.

Oleh Tarani Lanting

Tags: Jenayah

Continue Reading

Previous: Lelaki 56 tahun ditahan miliki syabu di Balingian
Next: Lelaki positif dadah ditahan selepas bertindak agresif di Saratok

Arkib

  • TERMA & SYARAT
  • PENAFIAN
  • HUBUNGI KAMI
Utusan Sarawak By Warta Niaga Sdn.Bhd | MoreNews by AF themes.