
KUCHING: Ketua Polis Daerah Kuching, ACP Alexson Naga Chabu berkata polis menerima satu laporan semalam pada 3.37 pagi, seorang lelaki tempatan berumur 24 tahun mendakwa telah dipukul sekumpulan individu serta kehilangan dokumen peribadi di kawasan lorong Darul Hana, Kuching.
Menurut beliau, hasil siasatan mendapati laporan tersebut adalah palsu dan kejadian seperti yang dilaporkan tidak pernah berlaku.
Katanya, pengadu dipercayai membuat laporan palsu bagi memudahkan urusan mendapatkan kad pengenalan baharu.
Semakan lanjut turut mendapati pengadu pernah membuat empat laporan berkaitan kehilangan kad pengenalan sebelum ini.
Kes disiasat di bawah Seksyen 182 Kanun Keseksaan kerana memberi maklumat palsu kepada penjawat awam. Jika sabit kesalahan, individu tersebut boleh dikenakan hukuman penjara sehingga enam bulan atau denda sehingga RM2,000 atau kedua duanya sekali.
Alexson menasihati orang ramai agar tidak membuat laporan polis palsu kerana tindakan tersebut merupakan satu kesalahan di sisi undang undang dan tindakan tegas boleh dikenakan terhadap pesalah.
Oleh Connie Chieng