
MIRI: Seorang lelaki berusia 28 tahun dijatuhi hukuman penjara tiga bulan selepas mengaku bersalah mencuri dua barang elektronik di sebuah kedai aksesori telefon mudah alih, dan kamera di Boulevard di sini pada 17 Februari lalu.
Majistret Sandy Yvette Freddy menjatuhi hukuman itu terhadap tertuduh, Mohammad Elffieydzull Rosli, setelah mengaku bersalah dalam prosiding yang berlangsung, kelmarin.
Menurut jurucakap Polis Daerah Miri dalam satu kenyataan, hukuman penjara tersebut berkuat kuasa mulai tarikh tertuduh ditahan pada 17 Februari lalu.
Mengikut fakta kes, kejadian berlaku pada 17 Februari 2025 sekitar 6.40 petang apabila tertuduh berkelakuan mencurigakan di bahagian pameran pendrive di dalam kedai tersebut.
Pekerja kedai yang memerhatikan gerak-gerinya membuat semakan melalui rakaman CCTV dan mendapati lelaki itu telah mengambil satu unit SD Card 64GB jenama Lenyes dan satu unit USB Pendrive 128GB jenama Lenyes.
Barang-barang tersebut dimasukkan ke dalam poket seluar tertuduh tanpa membuat pembayaran.
Pekerja kedai segera mengejar tertuduh dan meminta bantuan pengawal keselamatan untuk menahan lelaki itu.
Jumlah keseluruhan barang yang dicuri dianggarkan bernilai RM168.
Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 10 tahun dan denda, jika sabit kesalahan.
Mahkamah mengambil kira pengakuan bersalah tertuduh dan faktor lain sebelum menjatuhkan hukuman tersebut.
Oleh Adum Liu