
SIBU: Seorang lelaki dijatuhi hukuman penjara sembilan tahun dan tiga sebatan oleh Mahkamah Sesyen di sini hari ini selepas mengaku bersalah atas pertuduhan merompak seorang suri rumah, Ogos lalu.
Hakim Musyiri Peet memerintahkan tertuduh, Romar Inta, 36, menjalani hukuman penjara itu bermula dari tarikh sabitan, iaitu hari ini.
Mengikut pertuduhan, Romar didakwa merompak seorang suri rumah berusia 34 tahun dan mencederakan suami wanita itu yang berumur 26 tahun. Kejadian berlaku sekitar 1.30 pagi, 16 Ogos lalu di hentian bas berhampiran Jalan Khoo Peng Loong.
Kesalahan itu didakwa mengikut Seksyen 394 Kanun Keseksaan, yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan juga boleh dikenakan denda atau sebatan, jika sabit kesalahan.
Menurut fakta kes, ketika kejadian, kedua-dua mangsa sedang menunggu bas untuk ke Bintulu apabila didatangi tertuduh bersama seorang rakan lelaki. Rakan tertuduh merampas beg tangan milik suri rumah berkenaan, manakala tertuduh menumbuk muka suami mangsa.
Mereka kemudian melarikan diri dengan beberapa barangan mangsa, termasuk kad pengenalan, kad bank, lesen memandu dan dompet.
Tertuduh ditahan polis pada 3 Oktober lalu, sekitar 10.30 pagi di Kompleks Mahkamah Sibu. Dia turut membawa pihak polis ke jeti berhampiran tokong di Jalan Channel, tempat dia membuang dompet mangsa.
Kes dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya Cynthia Emmelda Jerry, manakala tertuduh tidak diwakili peguam.
Oleh Akun Giman