
KUCHING: Seorang lelaki berusia 39 tahun dipenjara selama sebulan selepas gagal membayar denda RM3,000 yang dikenakan oleh Mahkamah Majistret Kuching atas kesalahan merokok di kawasan larangan.
Tertuduh mengaku bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Tuan Majistret, Ling Hui Chuan.
Mahkamah menjatuhkan hukuman denda RM3,000 atau penjara sebulan sekiranya gagal membayar denda atas kesalahan mengikut Seksyen 16(2) Akta Kawalan Produk Merokok Demi Kesihatan Awam 2024 yang dibaca bersama Peraturan 3(4), Akta Kawalan Produk Merokok Demi Kesihatan Awam (Pengisytiharan Kawasan atau Tempat Dilarang Merokok) 2024.
Bagaimanapun, tertuduh gagal menjelaskan denda dalam tempoh yang ditetapkan sehingga petang kelmarin sebelum diserahkan ke Penjara Puncak Borneo bagi menjalani hukuman penjara.
Menurut fakta kes, kesalahan itu dikesan semasa operasi penguatkuasaan Akta 852 dijalankan di sebuah premis makanan oleh pegawai diberi kuasa dari Jabatan Kesihatan Negeri Sarawak.
Pegawai penguat kuasa telah memperkenalkan diri, menunjukkan kad kuasa serta memaklumkan kepada tertuduh bahawa merokok di kawasan larangan merupakan satu kesalahan di bawah akta berkenaan.
Siasatan lanjut dijalankan oleh Penolong Pegawai Kesihatan Persekitaran, Siti Rohayuh Saleh sebelum kertas siasatan dibuka dan kes didaftarkan di Mahkamah Majistret Kuching selepas tertuduh gagal menjelaskan kompaun yang dikenakan.
Pendakwaan dikendalikan oleh Pegawai Pendakwa, Dorothy Alak daripada Seksyen Inspektorat dan Perundangan, Jabatan Kesihatan Negeri Sarawak.
Semasa prosiding, pihak pendakwa turut memohon hukuman setimpal dikenakan sebagai pengajaran kepada orang ramai supaya mematuhi larangan merokok di kawasan yang diwartakan serta menghormati undang-undang demi melindungi kesihatan awam.