
SIBU: Mahkamah Majistret di sini hari ini, menjatuhkan hukuman penjara dua tahun ke atas seorang lelaki yang mengaku memiliki sebuah motosikal curi Yamaha Ego Avantiz.
Majistret Oon Kork Chern yang menjatuhkan hukuman itu terhadap Meor Hashim Jamil, 39, turut memerintahkan tertuduh menjalani hukuman penjara itu berkuatkuasa dari tarikh sabit kesalahan.
Terdahulu, Meor didakwa memiliki motosikal curi itu di sebuah rumah Jalan Pa’ Dris pada 4 Mac 2025, jam lebih kurang 1.00 pagi, satu kesalahan di bawah Seksyen 411 Kanun Keseksaan.
Seksyen 411 ini memperuntukan hukuman penjara tidak kurang enam bulan dan tidak lebih lima tahun dan juga boleh dikenakan denda, jika sabit dengan kesalahan.
Mengikut fakta kes, pada 10 Februari 2025, sekitar 6.00 petang bertempat di kediaman pengadu di Jalan Tiong Hua, pengadu telah memakirkan motosikal Yamaha Ego Avantiz miliknya dalam keadaan berkunci.
Namun pada keesokan harinya sekitar 5.00 pagi, pengadu mendapati kunci motosikal serta beg pinggang yang mengandungi kad pengenalan, kad bank serta lesen memandu miliknya telah hilang.
Pengadu turut mendapati motosikal miliknya hyang dipakir di luar rumah turut hilang, dengan kerugian dianggarkan sebanyak RM4,000.
Pada 4 Mac 2025, lebih kurang 3.25 pagi, pihak polis yang membuat rondaan telah terserempak dengan dua lelaki yang menaiki sebuah motosikal dalam keadaan mencurigakan di Jalan Temple.
Pemeriksaan yang dijalankan mendapati motosikal tersebut menggunakan nombor pendaftaran palsu.
Siasatan yang dijalankan mendapati tertuduh menunggang motosikal terbabit manakala rakannya membonceng di belakang. Namun apabila ternampak pihak polis peronda, tertuduh bertindak melarikan diri meninggalkan rakannya bersama motosikal terbabit.
Hasil soal siasat terhadap rakan tertuduh yang berusia 29 tahun, membawa kepada penahan tertuduh di sebuah bilik di Jalan Laichee pada 4 Mac 2025, lebih kurang 10.30 malam.
Pendakwaan kes dikendalikan oleh Pegawai Pendakwa ASP Siti Mariyah Dahari sementara tertuduh tidak diwakili.
Oleh Akun Giman