

TATAU: Seorang lelaki dikhuatiri lemas selepas dilaporkan tidak muncul semula ketika dipercayai pergi mandi di sebuah kolam berhampiran Rumah Panjang Kiroh Bali di sini, petang tadi.
Mangsa, Daniel Jumau, 23, dilaporkan hilang sekitar 4.18 petang sebelum usaha mencari dilancarkan oleh pasukan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Tatau.
Menurut Pusat Gerakan Operasi (PGO) Bomba Sarawak dalam kenyataa, maklumat awal daripada rakan mangsa menyatakan bahawa lelaki itu pergi ke kolam berdekatan rumah pekerja untuk mandi, namun tidak ditemui selepas beberapa lama.
“Hanya tuala dan selipar milik mangsa ditemukan di tepi kolam. Rakan mangsa cuba mencarinya tetapi gagal,” katanya.
Beliau berkata pasukan bomba seterusnya melakukan pencarian di dalam kolam berkenaan yang dianggarkan sedalam lima meter, namun mangsa masih belum dijumpai.
Katanya lagi, polis turut menasihati rakan mangsa supaya membuat laporan memandangkan tiada saksi yang benar-benar melihat mangsa turun ke dalam kolam.
“Operasi ditangguhkan pada 6.00 petang selepas pencarian awal tidak menemui sebarang petunjuk. Operasi akan disambung semula esok,” jelasnya.