

LUBOK ANTU: Seorang lelaki dikhuatiri lemas ketika mandi-manda di kawasan berhampiran jambatan gantung dekat Empangan Hidro Batang Ai petang tadi.
Menurut Ketua Zon 3 Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak, Muhammad Rais Adham Rosalan berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada 3.29 petang.
Mangsa yang dikenali sebagai Budak Tom, 36 tahun, dilaporkan hilang selepas sempat meminta tolong daripada isterinya sebelum dibawa arus sungai.
“Maklumat awal diterima daripada isteri mangsa yang memaklumkan suaminya hilang selepas kelihatan tenggelam ketika mandi di sungai berhampiran jambatan gantung kawasan Hidro Batang Ai,” katanya dalam kenyataan hari ini.


Pasukan dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Betong diketuai Pegawai Bomba Kanan I Abang Muhammad Fhazil Abang Abdul Manaf bersama 10 anggota digerakkan ke lokasi kejadian, yang terletak sekitar 69 kilometer dari balai berkenaan.
Sebaik tiba, pasukan penyelamat menjalankan penilaian situasi dan memaklumkan kejadian kepada Pasukan Penyelam (PPDA) untuk tindakan lanjut
Pada 5.30 petang, enam anggota PPDA BBP Betong turut digerakkan ke lokasi bagi melaksanakan operasi mencari dan menyelamat (SAR)
Setakat petang ini, operasi masih dijalankan dan mangsa belum ditemui.
Oleh Adi Safarman