
LUNDU: Lelaki dikhuatiri hilang selepas keluar dari rumah teman wanitanya di Kampung Jangkar di sini sejak lima hari lalu, sebelum kelibatnya dilihat penduduk kampung berada di kawasan hutan dalam keadaan mencurigakan.
Mangsa, dikenali sebagai Joshpen Stephen, 37 tahun, dilaporkan kali terakhir keluar dari rumah teman wanitanya pada 20 September sekitar 11.50 malam.
Usaha awal dilakukan oleh pengadu, Roseline Sataw, 36 tahun, bersama ahli keluarga dan seorang rakan untuk menjejaki mangsa di sekitar kawasan belakang rumah namun gagal menemuinya.

Menurut Roseline, pada 23 September sekitar 11.00 pagi, dia dimaklumkan oleh penduduk kampung bahawa kelibat Joshpen dilihat berhampiran simpang Kampung Jangkar dalam keadaan seolah-olah tidak waras.
Bimbang dengan keselamatan mangsa, beliau kemudian membuat laporan polis di Balai Polis Lundu hari ini sebelum menghubungi pihak bomba untuk bantuan.
Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak berkata, sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Lundu digerakkan ke lokasi selepas menerima panggilan pada 2.30 petang.

Operasi yang diketuai PBK I Joseph Dhiea melibatkan dua anggota dengan sebuah jentera pacuan empat roda jenis Hilux.
Setakat laporan ini diterima, pasukan bomba masih berada di lokasi untuk mendapatkan maklumat lanjut serta memantau keadaan bagi merancang operasi mencari dan menyelamat (SAR).