

OPERASI mencari dan menyelamat (SAR) sukar dijalankan pada waktu malam memandangkan lokasi kejadian hanya boleh diakses melalui kawasan semak samun yang tebal dan keadaan persekitaran yang gelap. Foto Bomba
KUCHING: Seorang lelaki dilaporkan hilang dan dikhuatiri dibaham buaya ketika sedang memancing di tebing sungai berhampiran Jalan Matang-Kampung Paroh menuju Taman Sri Matang, di sini, malam tadi.
Menurut jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak, mangsa dikenali sebagai Jacob Tuan, 32, dilaporkan hilang sekitar 10.00 malam oleh ahli keluarganya yang kemudian menghubungi pihak polis untuk memaklumkan kejadian.
Pusat Gerakan Operasi (PGO) Bomba Sarawak menerima panggilan kecemasan pada 10.30 malam dan menggerakkan sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Petra Jaya serta BBP Batu Lintang ke lokasi kejadian yang terletak sekitar tujuh kilometer dari balai.
Komander Operasi, PBK I Mohamad Nizam Bujang berkata, siasatan awal mendapati insiden berlaku di tebing sungai yang terletak sekitar 200 meter dari jalan utama.
“Operasi mencari dan menyelamat (SAR) sukar dijalankan pada waktu malam memandangkan lokasi kejadian hanya boleh diakses melalui kawasan semak samun yang tebal dan keadaan persekitaran yang gelap.
“Pihak bomba telah berbincang bersama polis dan agensi lain yang terlibat di lokasi sebelum memutuskan untuk menangguhkan operasi pada 12.30 tengah malam dan akan menyambung semula pencarian awal pagi esok,” katanya.
Setakat ini, mangsa masih belum ditemui.