
SIBU: Seorang lelaki tempatan berusia 41 tahun didakwa di Mahkamah Majistret Sibu hari ini atas pertuduhan memandu kenderaan di bawah pengaruh dadah sehingga menyebabkan kemalangan melibatkan enam kenderaan.
Ketua Polis Daerah Sibu, ACP Azari Miskon, berkata tertuduh, Yong Kung Chai, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan di bawah Seksyen 45(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dibacakan di hadapan Majistret Romario Jonoi.
Menurut beliau, berdasarkan siasatan awal, kejadian berlaku pada 17 April lepas apabila kenderaan yang dipandu tertuduh dipercayai menyebabkan kemalangan melibatkan lima kenderaan lain di Jalan Kampung Nyabor, berhampiran Jabatan Bomba dan Penyelamat Sibu Sentral.
“Kes tersebut telah dibawa ke mahkamah untuk tindakan lanjut,” katanya dalam satu kenyataan
Mahkamah menetapkan 4 Mei ini sebagai tarikh sebutan semula kes.
Tertuduh dibenarkan ikat jamin sebanyak RM5,000 dengan dua penjamin tempatan sementara menunggu sebutan semula kes.
Dalam pada itu, Polis Diraja Malaysia menegaskan komitmen berterusan dalam penguatkuasaan undang-undang jalan raya serta menggesa semua pengguna jalan raya agar sentiasa mematuhi peraturan lalu lintas demi keselamatan bersama.
Oleh Tarani Lanting