
SARIKEI: Seorang lelaki tempatan berusia 43 tahun didakwa di Mahkamah Majistret Sarikei hari ini atas pertuduhan membunuh seorang lelaki warga emas dalam kejadian di Sungai Rau, Entabai, Julau pada 24 Februari lalu.
Ketua Polis Daerah (KPD) Julau, DSP Alif Haiqal Ramesh Abdullah, berkata tertuduh dihadapkan ke mahkamah dan pertuduhan dibacakan di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan.
Katanya, seksyen tersebut memperuntukkan hukuman hukuman mati atau penjara antara 30 hingga 40 tahun serta sebatan minimum 12 kali jika tidak dijatuhkan hukuman mati sekiranya sabit kesalahan.
“Seksyen ini membawa maksud pembunuhan dengan niat menyebabkan kematian.
“Dalam masa yang sama, suspek juga dituduh dibawah Seksyen 506 Kanun Keseksaan atas kesalahan mendatangkan ugutan jenayah ke atas anak si mati, dan dibawah Seksyen 39 Akta Senjata 1960 atas kesalahan melepaskan tembakan selain di padang tembak,” katanya dalam satu kenyataan media.
Tambahnya, tiada jaminan ditawarkan kepada tertuduh kerana kes ini diklasifikasikan sebagai kesalahan yang tidak boleh jamin di bawah kanun keseksaan oleh itu, tertuduh akan kekal dalam tahanan penjara sepanjang prosiding pendakwaan selanjutnya.
“Dalam pada itu, Hakim Stella Augustine Druce telah menetapkan 5 Mei 2026 sebagai tarikh sebutan semula kes.
“Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwaraya Aiman Zarith Zahrulail,” katanya.
Oleh Earl Anek