Lelaki cedera, tersepit selepas kereta langgar pembahagi jalan di Jalan Kuching-Serian

Facebook
WhatsApp
KEMALANGAN melibatkan sebuah kereta melanggar pembahagi jalan di Kilometer 28, Jalan Kuching-Serian.

SERIAN: Seorang lelaki berusia 29 tahun mengalami luka terbuka pada paha kanan selepas kereta dipandunya melanggar pembahagi jalan di Kilometer 28, Jalan Kuching-Serian, awal pagi tadi.

Menurut laporang Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM), mangsa turut tersepit di dalam kereta jenis Perodua Kenari selepas kemalangan itu.

“Panggilan berhubung kejadian diterima pada 4.09 pagi sebelum Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Siburan mengerahkan lapan anggota diketuai Komander Operasi, PBK II TBK I Mohamad Ismail Zulkipli.

ANGGOTA bomba mengeluarkan mangsa yang tersepit selepas kereta dipandunya melanggar pembahagi jalan di Kilometer 28, Jalan Kuching-Serian, awal pagi tadi.

“Setibanya di lokasi, pasukan bomba mendapati mangsa masih tersepit di bahagian kaki kanan pada pintu pemandu.

“Pasukan bomba kemudian menggunakan peralatan EDD Frontliner jenis penyebar untuk membuka pintu pemandu sebelum mangsa berjaya dikeluarkan menggunakan papan tulang belakang dan penyangga leher,” katanya dalam laporan hari ini.

Mengulas lanjut, mangsa diberikan rawatan awal oleh anggota EMRS sebelum dihantar ke Hospital Serian menggunakan jentera EMRS untuk mendapatkan rawatan lanjut.

“Kemalangan dipercayai berlaku ketika mangsa dalam perjalanan dari arah Kuching menuju Serian sebelum kenderaannya melanggar pembahagi jalan.

“Pasukan bomba turut menjalankan kerja-kerja pembersihan di lokasi kemalangan selepas mangsa dikeluarkan.

“Operasi tamat pada 5.27 pagi selepas pasukan bomba memastikan keadaan di lokasi selamat,” ujarnya.