
SIBU: Seorang lelaki cedera selepas kenderaan pacuan empat roda yang dipandunya terbabas lalu melanggar sebatang pokok di Jalan Au Yong Selatan, di sini, petang ini.
Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Bomba Sarawak dalam kenyataan memaklumkan bahawa pihaknya menerima panggilan kecemasan mengenai kejadian itu pada 3.31 petang, sebelum sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sungai Merah digerakkan ke lokasi.
“Setibanya di tempat kejadian pada 3.40 petang, pasukan bomba mendapati kemalangan kendiri melibatkan sebuah kenderaan pacuan empat roda yang terbabas ke dalam parit selepas melanggar pokok.
“Seorang lelaki yang merupakan pemandu kenderaan berkenaan didapati tersepit, dan anggota bomba telah menggunakan peralatan penyelamat Road Traffic Accident (RTA) untuk mengeluarkan mangsa,” katanya.
Operasi menyelamat masih dijalankan ketika laporan ini diterima.