

SPAOH: Seorang lelaki warga asing cedera ringan selepas terbabit dalam kemalangan kendiri di Jalan Berbuling Tapang, malam tadi.
Menurut Pegawai Angkatan Pertahanan Awam (APM) Daerah Betong, Kapten Siti Huzaimah Ibrahim berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan daripada orang awam pada 8.42 malam yang memaklumkan terdapat seorang lelaki dalam keadaan terduduk di tepi jalan dan menahan kesakitan.
“Pasukan APM Spaoh yang terdiri daripada empat anggota segera bergegas ke lokasi menggunakan sebuah ambulans pacuan empat roda selepas menerima laporan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Tambah beliau, hasil pemeriksaan mendapati mangsa warga asing berusia lingkungan 30-an itu mengalami luka calar pada bahagian badan namun berada dalam keadaan sedar.
“Rawatan awal telah diberikan di lokasi sebelum mangsa dibawa ke Klinik Kesihatan Spaoh untuk pemeriksaan lanjut,” jelasnya.
Kes berkenaan disedari seorang pengguna jalan raya yang ketika itu dalam perjalanan bersama keluarganya ke Betong sebelum menghubungi pihak APM bagi mendapatkan bantuan.
Operasi menyelamat yang diketuai Sarjan Hasla Deli bersama tiga anggota lain itu tamat sepenuhnya pada 10.04 malam.
Oleh Adi Safarman