
KUCHING: Seorang lelaki berusia 56 tahun cedera selepas lori yang dipandunya terbabas sebelum melanggar laluan pejalan kaki dalam kejadian di hadapan SJK Chung Hua No.6, Sungai Maong awal pagi tadi.
Jurucakap Pusat Gerakan Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada 3.03 pagi.
“Sejurus menerima panggilan, sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Batu Lintang telah digerakkan ke lokasi yang terletak kira-kira tujuh kilometer dari balai. Pasukan tiba pada 3.11 pagi,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Menurutnya, kemalangan tersebut merupakan kemalangan kendiri melibatkan sebuah lori jenis Trinekens yang terbabas ke tepi jalan sebelum melanggar laluan pejalan kaki.
“Mangsa lelaki berusia 56 tahun didapati tersepit di bahagian tempat duduk pemandu. Pasukan bomba bertindak menggunakan peralatan khas untuk mengeluarkan mangsa,” katanya.
Beliau berkata, mangsa berjaya dikeluarkan dan didapati mengalami kecederaan pada bahagian kaki.
Mangsa kemudiannya diserahkan kepada pihak ambulans untuk mendapatkan rawatan lanjut.
Oleh Adele Rissa