

BINTULU: Seorang lelaki cedera selepas kenderaan dipandunya merempuh sebuah treler rosak yang diparkir di bahu jalan dalam kejadian di Jalan Setian–Kuala Tatau, pagi tadi.
Menurut Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada 6.23 pagi sebelum sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tatau dengan bantuan BBP Bintulu digerakkan ke lokasi kejadian.
“Sebaik tiba di lokasi, didapati kemalangan melibatkan sebuah kenderaan jenis Hyundai merempuh treler rosak yang diparkir di bahu jalan.

“Kejadian membabitkan seorang mangsa lelaki yang telah berjaya dikeluarkan oleh orang awam sebelum ketibaan pasukan bomba,” katanya.
Mangsa yang cedera kemudiannya diserahkan kepada pihak ambulans Kementerian Kesihatan (KKM) untuk tindakan dan rawatan lanjut.
Operasi dikawal pada 6.55 pagi dan ditamatkan sepenuhnya pada 7.00 pagi selepas keadaan di lokasi disahkan selamat.