SIBU: Seorang lelaki cedera setelah kereta yang dipandunya hilang kawalan dan terbabas ke bahu jalan di Jalan Awang Ramli Amit sekitar 10.21 malam tadi.
Kejadian itu menyebabkan mangsa berusia 56 tahun berada dalam posisi tertiarap dan separuh sedar.
Pusat Gerakan Operasi (PGO) Bomba Sarawak memberitahu, pihaknya menerima panggilan kecemasan 10.21 malam, sebelum mengarahkan Pasukan Keluaran Operasi (PKO) Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sibu Sentral ke lokasi kejadian.
“Kemalangan kendiri melibatkan sebuah kenderaan pacuan empat roda dalam keadaan terbalik di parit bahu jalan. Mangsa dikeluarkan dari tempat duduk pemandu dengan menggunakan peralatan khas iaitu pengusung papan tulang belakang ,” jelasnya menerusi kenyataan media, hari ini.
Mangsa kemudian diserahkan kepada Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) untuk rawatan awal seterusnya dibawa ke Hospital Sibu bagi tindakan selanjutnya.
Oleh AKUN GIMAN