
ENGKILILI: Seorang lelaki cedera selepas terlibat dalam kemalangan melibatkan sebuah kereta Perodua Alza dan sebuah trak tentera di kawasan pusingan P Lebuh Raya Pan Borneo di Jalan Engkilili petang tadi.
Menurut laporan Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak, panggilan kecemasan mengenai kejadian itu diterima pada 5.54 petang.

Pasukan dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Betong yang diketuai oleh Pegawai Bomba Edwin Jonani bersama lapan anggota segera bergegas ke lokasi dengan menggunakan Jentera Penyelamat Kebombaan (FRT) dan sebuah jentera Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS).
Setiba di tempat kejadian, pihak bomba mendapati seorang lelaki dewasa yang memandu kereta Perodua Alza terperangkap di dalam kenderaan, namun tidak tersepit.Â

Mangsa dilaporkan mengalami kecederaan dan tidak mampu keluar sendiri akibat kesakitan. Pasukan bomba bertindak membantu mengeluarkan mangsa sebelum diberikan rawatan awal oleh unit EMRS di lokasi.
Mangsa kemudiannya diserahkan kepada Kementerian Kesihatan (KKM) untuk tindakan lanjut.
Selepas operasi menyelamat selesai, pihak bomba turut melakukan kerja pembersihan jalan bagi memastikan laluan selamat digunakan pengguna lain sebelum operasi ditamatkan sepenuhnya.
Oleh Adi Safarman