

API marak memusnahkan beberapa rumah di Kampung Dagang, Tatau hari ini. – Foto JBPM Sarawak
TATAU: Seorang lelaki cedera melecur kira-kira 20 peratus di bahagian belakang badan dalam insiden kebakaran yang memusnahkan beberapa rumah di Kampung Dagang di sini, pagi tadi.
Menurut Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada10.08 pagi sebelum pasukan dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tatau bersama BBP Bintulu digerakkan ke lokasi menggunakan laluan sungai.
“Setibanya di lokasi, didapati kebakaran melibatkan sebuah rumah setinggan bersambung jenis tidak kekal yang terbakar 100 peratus, manakala tiga rumah lain berdekatan turut terjejas.
“Dua daripadanya musnah sepenuhnya manakala sebuah lagi terbakar kira-kira 60 peratus,” katanya.
Operasi pemadaman dijalankan menggunakan sumber air sungai dengan bantuan pam angkut serta penduduk setempat.



API marak memusnahkan beberapa rumah di Kampung Dagang, Tatau hari ini. – Foto JBPM Sarawak
“Anggota turut membina penghalang api bagi mengelakkan kebakaran merebak ke kawasan lain.
“Api berjaya dikawal pada 11.06 pagi sebelum kerja-kerja pemeriksaan menyeluruh dilakukan untuk memastikan tiada sisa bara yang tinggal,” katanya.
Sementara itu, mangsa yang cedera telah dihantar orang awam ke Klinik Kesihatan Tatau sebelum pasukan bomba tiba.