

ANGGOTA bomba berusaha mengeluarkan pemandu lori yang cedera selepas kenderaan dipandu bertembung dengan sebuah kereta di persimpangan lampu isyarat BMC, Bintulu hari ini.
BINTULU: Seorang lelaki cedera manakala dua lagi termasuk seorang kanak-kanak terselamat dalam kemalangan membabitkan sebuah kenderaan dan lori muatan konkrit di hadapan lampu isyarat BMC di sini, hari ini.
Menurut Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada 1.02 tengah hari sebelum sepasukan Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bintulu dengan kekuatan sembilan anggota dikejarkan ke lokasi.
“Setibanya di lokasi, didapati kemalangan melibatkan sebuah Perodua Bezza dinaiki dua beranak serta sebuah lori muatan konkrit
“Kedua-dua mangsa dalam kereta, seorang lelaki berusia 38 tahun dan anak lelakinya berusia tujuh tahun, telah berjaya dikeluarkan oleh orang awam sebelum bomba tiba dan hanya mengadu sakit dada ringan.
“Pemandu lori berusia 30 tahun yang mengalami kecederaan di tangan dan muka pula dikeluarkan oleh anggota bomba menggunakan peralatan khas,” katanya
Mangsa yang cedera kemudian diberi rawatan awal oleh pasukan perubatan Kementerian Kesihatan (KKM) sebelum dibawa ke hospital untuk rawatan lanjut.
Operasi ditamatkan sepenuhnya pada 1.26 tengah hari selepas memastikan keadaan di lokasi selamat.