
KUALA PILAH: Seorang lelaki cedera di kepala, tangan dan kaki selepas diserang haiwan liar dipercayai kucing tulap dalam kejadian di Kampung Pauh Terachi dekat Tanjung Ipoh, di sini semalam.
Pengarah Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN) Negeri Sembilan Faizal Izham Pikri berkata pihaknya menerima laporan mengenai kejadian itu sekitar 9.00 malam, melibatkan mangsa berusia 56 tahun.
“Serangan dipercayai berlaku awal pagi semalam ketika mangsa berada di kawasan kandang kambing miliknya di belakang rumah.
“Akibat kejadian itu, mangsa mengalami beberapa kecederaan dan kini sedang menerima rawatan di Hospital Tuanku Ampuan Najihah (HTAN),” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurut beliau, lokasi kejadian terletak berhampiran kawasan Hutan Simpan Berembun dan pihaknya akan memasang kamera perangkap bagi mengesan kehadiran haiwan berkenaan. – Bernama