
BAKONG: Seorang lelaki cedera selepas diserang seekor buaya ketika menjala ikan di hulu Sungai Bakong yang sememangnya dikenali sebagai kawasan buaya ganas, malam tadi.
Menurut seorang saudara terdekat mangsa yang enggan namanya disiarkan, kejadian berlaku ketika mangsa berusia dalam lingkungan 50-an itu sedang menjala ikan bersama abang iparnya.
“Kejadian berlaku dengan sangat pantas. Abang ipar mangsa menyaksikan sendiri mangsa dilambung buaya sebanyak dua kali.
“Dia bertindak memukul buaya itu dengan pengayuh perahu berulang kali sehingga buaya melepaskan mangsa, sebelum berjaya menyelamatkannya dan membawa mangsa naik ke dalam perahu,” katanya ketika dihubungi Utusan Sarawak.
Mangsa yang berasal dari Kampung Melayu Beluru kini sedang menerima rawatan di Hospital Miri akibat kecederaan di bahagian perut, tangan dan muka.
Kejadian tersebut mengejutkan penduduk kampung dan telah dimaklumkan kepada pihak berkuasa untuk tindakan lanjut.
Orang ramai, khususnya penduduk yang menjalankan aktiviti di kawasan sungai, dinasihatkan agar sentiasa berwaspada dan mengutamakan keselamatan diri.
Oleh Adum Liu