
Terdapat mangsa yang terkorban akibat rempuhan yang didakwa dilakukan Doyle
LONDON: Seorang lelaki Britain yang dituduh memandu kenderaannya ke arah orang ramai ketika meraikan kejayaan Liverpool menjuarai Liga Perdana Inggeris (EPL) Mei lalu mengaku tidak bersalah terhadap 31 pertuduhan di Mahkamah, semalam.
Bekas marin Britain, Paul Doyle, 53, membuat pengakuan itu melalui pautan video dari penjara ketika hadir di Mahkamah Mahkota Liverpool, membabitkan pertuduhan berkaitan 29 mangsa berusia antara enam bulan hingga 77 tahun.
Pada 26 Mei lalu, penyokong Liverpool membanjiri jalan raya untuk meraikan kejuaraan liga ke-20 kelab itu yang menyamai rekod, namun suasana gembira bertukar tragedi apabila Doyle didakwa merempuh mereka dengan kenderaannya.

Menurut Polis Merseyside, seramai 134 orang cedera dalam insiden berkenaan.
Doyle, bapa kepada tiga anak dari kawasan Croxteth, Liverpool, didakwa atas kesalahan memandu berbahaya, cuba menyebabkan atau menyebabkan kecederaan parah dengan niat, serta mengganggu ketenteraman awam.
Tarikh perbicaraan ditetapkan pada 24 November depan dan dijangka berlangsung antara tiga hingga empat minggu. – AFP