
BETONG: Seorang lelaki tempatan berusia 46 tahun menjadi mangsa penipuan pinjaman tidak wujud secara dalam talian, menyebabkan beliau mengalami kerugian sebanyak RM1,530 selepas terpedaya dengan tawaran iklan di media sosial.
Ketua Polis Daerah Betong, DSP Rejali Angong berkata, kejadian itu berlaku pada 2 September lalu sekitar 10.00 pagi ketika mangsa berada di rumah dan melayari laman Facebook sebelum melihat iklan pinjaman wang yang menawarkan proses mudah serta pantas.
“Mangsa kemudian berhubung dengan individu yang menyamar sebagai ejen pinjaman melalui aplikasi WhatsApp. Mangsa diarahkan membuat bayaran kononnya untuk yuran proses, guaman dan cukai.
“Kesemua bayaran dibuat secara dalam talian ke lima akaun bank tempatan yang berbeza,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurut Rejali, Bahagian Siasatan Jenayah Komersil IPD Betong telah membuka enam kertas siasatan sejak 1 Januari hingga 6 September tahun ini melibatkan modus operandi sama dengan jumlah kerugian keseluruhan RM5,090 termasuk kes terbaharu ini.
“Kes tersebut disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu, yang membawa hukuman penjara minimum satu tahun dan maksimum 10 tahun, sebatan serta denda jika sabit kesalahan,” tegasnya.
Sehubungan itu, Rejali menasihatkan orang ramai supaya lebih berhati-hati ketika berurusan dengan individu tidak dikenali di media sosial dan tidak mudah percaya dengan tawaran pinjaman segera.
“Penipuan dalam talian merupakan jenayah komersil yang boleh dicegah sekiranya masyarakat sentiasa peka, berwaspada dan memiliki pengetahuan berkaitan taktik yang digunakan oleh sindiket,” ujarnya.
Oleh Adi Safarman