
Pihak berkuasa Pakistan merampas dua ekor singa Afrika selepas seorang lelaki membawa seekor daripadanya berarak di jalan raya untuk rakaman video TikTok.
ISLAMABAD: Pihak berkuasa Pakistan merampas dua ekor singa Afrika selepas seorang lelaki membawa seekor daripadanya berarak di jalan raya untuk rakaman video TikTok, lapor Agensi Berita Jerman (dpa).
Insiden itu mencetuskan panik dan ketakutan dalam kalangan penduduk hujung minggu lalu di daerah Gujranwala, wilayah Punjab.
Lelaki itu dilihat membawa senapang automatik sambil berjalan di jalan raya sibuk bersama haiwan yang dirantai itu.
“Kami menahan lelaki yang terlibat dalam aksi TikTok itu dan merampas dua ekor singa Afrika miliknya,” kata jurucakap Jabatan Hidupan Liar Punjab, Mohammad Rizwan kepada dpa pada Selasa.
Rizwan berkata lelaki itu berdepan hukuman penjara sehingga tujuh tahun atas pemilikan haram singa dan membahayakan nyawa orang awam.
Terdapat lebih 100 pusat pembiakan haiwan secara persendirian di Punjab dan ramai individu yang memelihara haiwan liar seperti harimau dan cheetah di kediaman mereka.
“Tiada sesiapa dibenarkan memelihara singa di rumah, khususnya di kawasan perumahan padat,” kata Rizwan.
Bulan lalu, kerajaan Punjab melancarkan satu aplikasi yang menggesa orang ramai mendaftarkan haiwan liar bersaiz besar mereka sebagai usaha untuk mengawal pemilikan.
Jumlah sebenar haiwan liar seperti ini di wilayah berkenaan masih belum diketahui.
Awal tahun ini, seekor singa peliharaan ditembak mati selepas melarikan diri dari kandangnya dan berkeliaran di jalan sekitar Lahore.
Perdagangan haiwan liar adalah perniagaan yang menguntungkan di Pakistan.
Permintaan turut didorong oleh video dalam talian yang menunjukkan pemilik membelai haiwan itu dan membawanya ke tempat awam malah ke perhimpunan politik sebagai simbol kuasa.– BERNAMA-dpa