

BANTERAS JENAYAH… Lelaki miliki enam rekod kesalahan dadah ditahan bersama dua lelaki kerana positif dadah dan seorang keldai akaun di Lawas.
LAWAS: Seorang daripada tiga lelaki yang ditahan dalam satu operasi di bandar ini pada Isnin lalu didapati mempunyai enam rekod kesalahan lampau berkaitan dadah.
Ketua Polis Daerah Lawas, DSP Liong Tindan, berkata ketiga-tiga suspek yang berusia 26, 27 dan 29 tahun itu ditahan di beberapa lokasi, termasuk di Bandar Lawas dan Jalan Punang, dalam operasi yang dijalankan pada 12.30 tengah hari.
“Hasil pemerikaan badan terhadap suspek berusia 26, tidak menemui barang menyalahi undang-undang. Siasatan lanjut mendapatinya tidak mempunyai dokumen pengenalan diri.
“Hasil ujian air kencing mendapati suspek positif dadah jenis amphetamine dan methamphetamine,” katanya dalam kenyataan hari ini.


DSP Liong turut memberitahu semakan kesalahan lampau mendapati suspek tiada kesalahan lampau dan kes disiasat mengikut Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen dan Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952,” ujarnya.
Manakala dua lagi suspek yang juga lelaki tempatan berusia 27 dan 29 tahun diberkas kerana disyaki terlibat dalam aktiviti penyalahgunaan dadah.
“Hasil ujian air kencing mendapati kedua-dua suspek positif dadah amphetamine dan methamphetamine dan semakan kesalahan lampau terhadap kedua suspek mendapati masing-masing mempunyai empat dan enam kesalahan lampau berkaitan dadah.
“Kes disiasat Seksyen 15(1)(a) ADB 1952,” ujarnya.
Dalam operasi sama, seorang lelaki ditahan di Jalan Banting, Lawas, pada 10.48 pagi kerana disyaki terlibat dengan akaun keldai akaun dan akaunnya digunakan untuk jenayah penipuan di Sabah.
“Hasil pengakuan, suspek menyatakan kad bank telah hilang tetapi tidak dilapor kepada bank berkenaan.
“Dalam hal ini, pihak polis menasihatkan orang ramai untuk melaporkan segera kepada bank berkaitan sekiranya kad bank hilang atau digunakan oleh orang lain bagi mengelak dikaitkan dengan perbuatan jenayah oleh penjenayah lain,” ujarnya lagi.
Suspek yang didapati tiada kesalahan lampau disiasat dibawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan.
Oleh Adeng Edrus