
LAWAS: Polis Daerah Lawas menerima laporan daripada seorang pengadu berusia 52 tahun yang bekerja di sebuah agensi di Lawas berhubung kes penipuan dalam talian.
Pengadu memaklumkan beliau telah dihubungi oleh individu yang menyamar sebagai pegawai polis.
Ketua Polis Daerah Lawas, DSP Liong Tindan, dalam satu kenyataan berkata kejadian bermula pada 11 Disember 2025 apabila pengadu menerima panggilan telefon yang mendakwa beliau telah membuat pengeluaran untuk tujuan perubatan berjumlah RM86,000.
Panggilan tersebut kemudiannya disambungkan kononnya ke Balai Polis, yang mana pengadu dituduh terlibat dalam pengubahan wang haram bernilai RM2 juta.
Pengadu diarahkan untuk mematuhi arahan dan melakukan beberapa transaksi bank sebelum akhirnya menyedari bahawa dirinya telah ditipu.
Jumlah kerugian keseluruhan kes dianggarkan sebanyak RM74,700. Kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan.
Orang ramai dinasihatkan agar sentiasa berhati-hati ketika berurusan dengan mana-mana pihak serta membuat pengesahan terlebih dahulu sebelum melakukan sebarang pembayaran atau transaksi bagi mengelakkan penipuan dan kerugian kewangan.
Oleh Adeng Edrus