
ASAJAYA: Seorang lelaki berusia 42 tahun dikhuatiri hilang selepas dipercayai terjatuh ke sungai ketika mencari siput sedut di kawasan Pantai Jaie, Sadong Jaya, di sini, semalam.
Mangsa, Hamizan Rahmat, dilaporkan tidak pulang ke rumah selepas keluar menaiki basikal ke pantai berkenaan kira-kira 11.00 pagi.
Menurut Pusat Gerakan Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada 11.02 malam sebelum jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Asajaya digerakkan ke lokasi kejadian.

Jentera bomba tiba di lokasi pada 11.18 malam, kira-kira 15 kilometer dari balai, dan mendapati mangsa masih belum dijumpai.
Usaha pencarian awal dilakukan oleh ahli keluarga dan penduduk kampung selepas basikal milik mangsa ditemui di kawasan semak berhampiran pantai tersebut.
Difahamkan, ibu mangsa memaklumkan kehilangan anaknya kepada ahli keluarga selepas mangsa tidak pulang ke rumah sehingga lewat petang.
Penduduk kampung kemudian memasuki kawasan hutan paya berdekatan bagi mencari mangsa selama hampir dua jam, namun gagal menemui sebarang petunjuk sebelum laporan polis dibuat.
Operasi mencari dan menyelamat (SAR) diteruskan hari ini memasuki hari kedua, bermula 8.30 pagi dengan kekuatan enam anggota BBP Asajaya diketuai PBK II Duet Marzuki.
Pasukan bomba tiba semula di lokasi pada 8.50 pagi dan mengadakan sesi taklimat bersama agensi terlibat sebelum operasi SAR dilaksanakan.
Operasi bersepadu itu turut melibatkan Polis Diraja Malaysia (PDRM), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), RELA serta kira-kira 35 penduduk kampung, dengan sebuah kenderaan jenis Navara digunakan bagi tujuan operasi.
Sehingga laporan ini ditulis, mangsa masih belum ditemui dan operasi SAR diteruskan.
Oleh Shikin Mahmud