
BETONG: Seorang lelaki dewasa disahkan meninggal dunia selepas ditemui tidak sedarkan diri di koridor dekat Kompleks Kerajaan Negeri Betong, petang tadi.
Mangsa yang berusia 38 tahun itu ditemui oleh salah seorang pekerja di kawasan tersebut dalam keadaan terbaring sebelum laporan dibuat kepada pihak berkuasa pada 1.58 petang.
Pegawai Angkatan Pertahanan Awam (APM) Daerah Betong, Kapten Mohamad Noor Ini berkata, sejurus menerima panggilan kecemasan, seramai empat anggota yang diketuai oleh Sarjan Michael Awan Aing telah dikejarkan ke lokasi kejadian dengan menaiki ambulans pacuan empat roda.

”Setibanya di lokasi pada 2.02 petang, pasukan penyelamat mendapati mangsa berada dalam keadaan tidak sedarkan diri dan pemeriksaan awal mendapati tiada denyutan nadi dikesan.
”Pasukan APM telah bertindak melakukan bantuan pernafasan kecemasan (CPR) selama 30 minit serta menggunakan peranti Defibrilator Luaran Automatik (AED) sebanyak lima kali kejutan sebagai usaha menyelamatkan mangsa,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Walau bagaimanapun, usaha tersebut gagal memulihkan jantung mangsa. Pemeriksaan lanjut menggunakan peralatan ‘Vital Sign’ juga tidak menunjukkan sebarang bacaan tindak balas.
Mangsa kemudiannya disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian oleh pegawai perubatan daripada Kementerian Kesihatan (KKM) yang turut hadir di lokasi.
Mayat mangsa telah diserahkan kepada pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk tindakan lanjut dan proses bedah siasat bagi mengenal pasti punca sebenar kematian.
Operasi tamat sepenuhnya pada 3.45 petang.
Oleh Adi Safarman