

SELANGAU: Polis menahan seorang lelaki berusia 30 tahun warga tempatan kerana disyaki terlibat dengan aktiviti penyalahgunaan dadah dalam serbuan yang dijalankan di belakang sebuah rumah panjang di Jalan Sibu-Bintulu, pagi semalam.
Ketua Polis Daerah Mukah, DSP Muhamad Rizal Alias berkata, serbuan dijalankan oleh Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Daerah, Ibu Pejabat Polis Daerah Mukah sekitar 10.30 pagi.
“Pemeriksaan yang dijalankan telah menjumpai satu keratan tiub straw lutsinar mengandungi ketulan kristal dipercayai dadah jenis methamphetamine atau syabu dalam simpanan suspek.
“Anggaran berat dadah yang dijumpai adalah 0.43 gram dengan anggaran nilai RM110. Suspek dan barang kes di bawa ke IPD Mukah untuk tindakan lanjut,” katanya menerusi siaran media, hari ini.
Katanya, ujian urin mendapati suspek positif dadah jenis amphetamine dan methamphetamine.
“Kes disiasat di bawah Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan Deksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952.
“Suspek yang bekerja sebagai buruh direman selama empat hari sehingga 17 Disember ini bagi melengkapkan siasatan,” ujarnya.
Oleh Akun Giman